Pada
awal Disember lalu,saya dan sekumpulan pengkaji dari kelab sejarah
saya,punk_historian telah berkesempatan melawan kawasan arkeologi Lembah
Bujang.Apabila sampai di kawasan tapak arkeologi,saya dapati standard
pengkajian seperti sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh.Saya biasa
melihat bagaimana cara para pengkaji Barat mengkaji sesuatu tapak dengan
standard yang tinggi dan membuat 'cross-reference' secara terperinci.
Acapkali
deduksi yang saya lihat dari laporan arkeologi Lembah Bujang ialah
mengaitkan ia dengan tempat ibadat atau keagamaan.Para pengkaji jarang
malah tidak membuat kajian khusus tentang perdagangan,ekonomi dan
pemerintahan di Lembah Bujang.Siapa yang membina Lembah Bujang?Takkanlah
para pendeta pula yang membina Lembah Bujang.Tahukah anda,bahawa layout
tapak arkeologi Lembah Bujang adalah menunjukkan pelan sebuah
bandar!Terdapat lebih 50 buah bangunan yang diperbuat dari batu-bata dan
kesemuanya digazetkan oleh pengkaji kita sebagai candi.Ini kesilapan
besar.Untuk apa candi dibina banyak-banyak?
Sebelum saya mengulas lebih lanjut,mari kita membaca laporan tentang tapak arkeologi Lembah Bujang ini:
1.0 Pengenalan
Proto
sejarah merupakan satu jangka masa di antara zaman pra sejarah dan
zaman sejarah mula ditulis. Zaman transisi di antara prasejarah kepada
sejarah dipanggil protosejarah. Menurut Munandar ciri-ciri zaman
protosejarah terdapat dua iaitu:
1. Terdapat catatan tentang
suatu bangsa di suatu wilayah telah ditulis oleh bangsa lain yang telah
mengenal tulisan, sedangkan bangsa yang beritanya dicatat itu masih
belum mengenal tulisan.
2. Terdapat catatan di suatu wilayah
yang sudah dikenal peninggalan yang mempunyai bentuk-bentuk seperti
“tulisan”, tetapi belum dapat dibaca atau diertikan hingga saat ini.
Dalam
konteks Malaysia sumber awal sangat terhad, malah dalam banyak perkara
kita terpaksa merujuk kepada sumber dari Arab, Cina,
India dan Eropah
bagi menulis semula sejarah zaman proto. Maka tidak hairan banyak
penulisan sejarah awal Malaysia lebih memberikan fokus terhadap sejarah
selepas Melaka. Justeru tidak banyak kawasan yang didapati memiliki
sumber sejarah sama ada berdasarkan sumber luar maka penemuan yang besar
hasil usaha cari gali di Lembah Bujang sangat penting untuk menulis
sejarah awal Malaysia sejak awal kurun Masehi lagi. Penemuan tapak-tapak
zaman proto sejarah di tempat lain juga tidaklah sebanyak di Lembah
Bujang. Kepentingan Lembah Bujang atau Kedah Tua dapat dilihat
berdasarkan dua sumber yang penting iaitu berdasarkan catatan sumber
asing dari India,Arab dan Cina; dan juga sumber arkeologi iaitu
berdasarkan sumber arkeologi yang menunjukkan peranan Kedah sebagai
tempat perdagangan di
Asia Tenggara. Kajian menunjukkan telah wujud
kerajaan Melayu awal di Lembah Bujang sekurang-kurang sejak abad ke-6M
hingga abad ke-13M. kerajaan ini dipercayai memainkan peranan penting
sebagai pusat perdagangan dan komersil di antara timur dan barat.
2.0 Rekod Bertulis
2.1 Berdasarkan sumber asing
Peranan
Lembah Bujang dilihat sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara dengan
memiliki lokasi di antara laluan perdagangan Arab, Farsi, India dan
Cina. Justeru, sebagai kawasan persinggahan perdagangan muncullah
beberapa istilah seperti Survanabhumi (negeri emas) oleh G.Coedes,
Yavadvipa (pulau emas dan perak), Suvarnadvipa (pulau emas) oleh D.G.E.
Hall yang merujuk kepada kawasan Asia Tenggara khususnya Lembah Bujang.
Catatan
tentang negeri Kedah berdasarkan sumber India iaitu yang terkandung di
dalam sebuah puisi Tamil berjudul Pattinappalai yang ditulis di antara
abad kedua Masehi hingga ketiga Masehi menyebut Kedah sebagai “Kalagam”
yang dikatakan mempunyai pengertian yang sama seperti “Kandaram” iaitu
Kedah. Ini disokong oleh catatan pada batu bersurat kerajaan Chola
bertarikh 1030 Masehi pula menunjukkan dengan jelasnya bahawa “Kandaram”
merupakan “Kataha” yang disebut dalam cerita-cerita lama Sanskrit
terutamanya di dalam drama Kaumudimahotsava yang ditulis di antara abad
ke-7M/8M. Ringkasnya terdapat jalinan hubungan melalui perdagangan sejak
zaman Gupta (4M-9M), dan Chola (9M-13M). Selain peranan
pedagang-pedagang India, peranan pedagang-pedagang tempatan Kedah
dikatakan amat penting dalam hubungan di antara India dan Kedah. Justeru
bukan hanya pedagang-pedagang luar yang datang ke Kedah tetapi orang
tempatan telah terlibat dalam perdagangan dunia.
Melalui rekod
China, negeri Kedah juga dikenali sebagai “Chieh-ch’a” atau “Kie-tch’a”
oleh ahli-ahli pelayaran China di abad ke-7M. Selain menjalankan
perdagangan, pelayar Cina turut pergi ke India untuk tujuan mempelajari
keagamaan iaitu agama Buddha. Dalam perjalanan ke India mereka telah
singgah ke Srivijaya untuk belajar bahasa Sanskrit. Salah seorang dari
mereka ialah I-Tsing yang telah singgah di Srivijaya pada tahun 672M dan
kemudiannya juga telah singgah di Kedah pada 673M. Setelah belajar
selama 12 tahun di Universiti Nalanda dan dalam perjalanan balik ke
China beliau telah singgah sekali lagi di Kedah pada tahun 685M.
berdasarkan catatan oleh pelayar China adalah tidak dinafikan pentingnya
Kedah sebagai pusat perdagangan di rantau Asia Tenggara. Malah
dikatakan negeri Kedah turut memiliki hubungan dengan negeri China sejak
abad ke-7M.
Sumber Arab menyatakan Kedah (Kalah) terletak di
antara India dan China. Menurut catatan oleh Ya’qubi pada abad ke-9M,
negeri Kedah terletak selepas laut Harkand (Ceylon) sebelum sampai di
sebuah selat (Selat Melaka). Catatan oleh Sulaiman-al-Mahri juga pada
abad 851M turut menyatakan tentang wujudnya kerajaan bahawa Negeri Kedah
(Kalah-bar) merupakan negeri yang bebas daripada naungan kerajaan
Srivijaya dan merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber kayu,
mineral dan hasil hutan.
Walaupun catatan mengenai Negeri Kedah
yang dibuat oleh ahli-ahli pelayaran India, China dan Arab dan juga
melalui rekod-rekod yang terdapat di dalam karya - karya sastera India
adalah sangat kabur dan sukar untuk dikenal pasti dengan tepat tetapi
sekurang-kurangnya telah ada sumber-sumber bertulis yang merekodkan
mengenai kepentingan negeri Kedah atau Lembah Bujang pada zaman awal.
Melalui rekod ini kita dapati kawasan Lembah Bujang merupakan destinasi
perdagangan yang sangat popular pada zaman protosejarah. Maka tidak
hairanlah kita dapati begitu banyak jumpaan arkeologi di kawasan Lembah
Bujang. Dengan catatan bertulis yang begitu sedikit sekurang-kurangnya
dapat memberi panduan dan mengisi ruang kosong dalam penulisan semula
sejarah Malaysia dari awal abad pertama hingga abad ke-15M.
2.2 Rekod Hikayat Sastera Tempatan
Selain melihat kepada sumber luar, keagungan negeri Kedah turut boleh
dilihat melalui sumber hikayat sastera. Antara hikayat yang boleh
dirujuk misalnya Hikayat Merong Mahawangsa, al-Tarikh Salasilah, dan
Sejarah Kedah. Berdasarkan catatan ketiga-tiga hikayat ini terdapat
unsur Hindu, Siam dan Islam pada nama pemerintah awal negeri Kedah.
Sekiranya kita melihat perbandingan jumpaan arkeologi dan susunan agama
yang masuk ke negeri Kedah, ia seolah-olah bertepatan dengan fakta
sejarah bahawa telah ada unsur agama Hindu, Buddha dan Islam di Kedah.
Begitu juga dengan susunan pemerintah berdasarkan Hikayat Merong
Mahawangsa iaitu terdapat tujuh orang pemerintah sebelum kedatangan
Islam yang juga menggunakan gelaran Sanskrit-Siam misalnya Marong
Mahawangsa, dan Phra Ong Maha Podisat. Malah karya-karya sastera jelas
menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang rapat di antara negeri Kedah
dengan Perak, Pattani dan Ayutthaya. Walau bagaimanapun sumber hikayat
mesti digunakan secara berhati-hati disebabkan konsep sejarah pada
masyarakat Melayu tradisional berbeza dengan konsep penulisan sejarah
moden.
3.0 Berdasarkan sumber arkeologi
Disebabkan dokumen bertulis amat terhad iaitu daripada sumber hikayat
lama dan catatan pedagang luar, maka bukti daripada penemuan arkeologi
sangat penting bagi membantu menulis semula sejarah Malaysia sejak awal
abad pertama Masehi. Ditambah pula catatan bertulis dan hikayat
memberikan gambaran yang sangat kabur tentang sejarah Kedah Tua maka
sumber arkeologi di Lembah Bujang akan dapat membantu memberikan bukti
kepada data bertulis yang sedia ada. Jumpaan bahan arkeologi di Lembah
Bujang meliputi tapak candi Hindu-Buddha, tembikar tanah, tembikar
batu, celadon, porselin, manik, serpihan kaca,dan juga yang terbaru
adalah bangunan dan kilang melebur besi pada abad ke-3SM.
Jumpaan-jumpaan arkeologi sangat penting malah dikatakan boleh mengubah
penulisan sejarah di Asia Tenggara tentang peranan Lembah Bujang.
Justeru, sejak tahun 1840-an hingga 2010, lebih daripada 50 usaha cari
gali telah dilakukan yang telah berjaya menambah koleksi bahan-bahan
arkeologi dan membantu mentafsir semula sejarah Kedah Tua dan Malaysia
amnya.
3.1 Periodisasi Lembah Bujang protosejarah
Sebelum
kita melihat bukti-bukti arkeologi di Lembah Bujang dikemukakan di sini
tentang teori-teori atau tesis yang cuba menerangkan zaman awal Kedah di
sekitar Lembah Bujang melalui pendekatan arkeologi. Di antaranya Wales,
Lamb, dan Wheatley. Menurut Quaritch Wales perkembangan Lembah Bujang
boleh dilihat melalui empat tahap penjajahan dari India iaitu:
Tahap awal meliputi jangka masa di antara awal Masehi hingga abad ke-3 Masehi. Hujah beliau berdasarkan jumpaan manik.
Tahap kedua bermula di antara tahun 300M hingga 550M. Hujah beliau
berdasarkan kepada batu-batu bertulis dan tapak-tapak 1 hingga 3.
Masyarakat pada ketika itu dipercayai beragama.
Tahap ketiga
di antara tahun 550 hingga 750 Masehi. Dalam tempoh ini dikatakan
terdapat perubahan kebudayaan disebabkan penaklukan oleh empayar Hindu
Pallava ke atas Kedah. Bukitnya menurut beliau boleh dilihat pada
tapak-tapak 4 hingga 9 di Lembah Bujang yang dianggap sebagai kuil Siva.
Tahap keempat di antara 750M hingga 900 Masehi. Dalam tempoh ini unsur
kepercayaan Buddha dari Selatan India yang mempunyai unsur-unsur Pala
Mahayana dikesan di Lembah Bujang.
Wheatley turut
mengemukakan tempoh kewujudan Lembah Bujang. Menurut beliau sejarah
Kedah bermula ketika Gunung Jerai, Bukit Penjara dan Bukit Batu Lintang
masih lagi merupakan pulau dan dikatakan pedagang dari India telah
berhubung dengan masyarakat tempatan.
Kira-kira pada abad
ke-5M, agama Buddha telah dianuti oleh masyarakat di Lembah Bujang.
Melalui hubungan dengan India yang panjang, 300 tahun selepas itu ajaran
Buddha di Kedah dikatakan telah diresapi oleh unsur-unsur Saivisme.
Bentuk-bentuk candi yang menghala ke timur menunjukkan amalan linga di kalangan masyarakat Hindu di Kedah.
Pada abad ke-8M hingga 9M terdapat unsur-unsur Mahayana pada ajaran
Buddha di Kedah. Beliau menyatakan di samping penglibatan pedagang India
terdapat juga pedagang dari Arab dan China di Lembah Bujang sejak abad
ke-8M.
Serangan Raja Chola pada tahun 1025M-1030M menyebabkan
lupuhnya Lembah Bujang. Srivijaya yang turut diserang telah berjaya
pulih tetapi berbeza dengan Lembah Bujang yang gagal untuk mengembalikan
keagungannya.
Walau bagaimanapun pandangan Wales telah
ditolak oleh Lamb dengan mengemukakan pandangan yang lain berasaskan
kepada bukti-bukti arkeologi. Malah penemuan candi Bukit Batu Pahat di
Lembah Bujang membawa Lamb mempersoalkan kebenaran tesis Wales. Lamb
turut membahagikan pendudukan di Kedah kepada empat peringkat juga iaitu
:
Fasa Buddhisme awal – Buktinya terdapat tiga inskripsi
yang dijumpai oleh Low dan Wales yang dibuat atas arahan Buddhagupta
bagi menjamin keselamatan pelayaran. Ketiga-tiga inskripsi ini mempunyai
teks yang sama dan diberi tarikh abad keempat atau kelima Masehi.
Fasa Srivijaya – Terdapat persamaan jangka masa pada Arca gangsa yang
dijumpai di Sambas, Kalimantan, Indonesia dengan aktiviti perdagangan di
Takuapa, Thailand yang juga mengamalkan aspek kepercayaan Buddha
Mahayana dan tantrik. Kepercayaan ini turut diamalkan di Perak pada abad
ke-7M hingga 9M.
Fasa Pengkalan Bujang wujud selepas abad
ke-11 Masehi iaitu selepas jatuhnya Takuapa sebagai pusat perdagangan.
Pada masa ini Lembah Bujang berkembang di sekitar Sungai Bujang dan
Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu. Lembah Bujang merosot sebagai pusat
perdagangan pada abad ke-14M. Lembah Bujang mula bangkit setelah
serangan yang dilancarkan oleh Raja Chola. Fasa ini juga menampakkan
peranannya Lembah Bujang pengantara yang menghubungkan kawasan pedalaman
dengan dunia luar.
Fasa Kuala Muda berkembang setelah Lembah Bujang mencapai kemuncaknya dan dicirikan oleh seramik jenis Ming biru dan putih.
Agak
sukar menentukan pendapat yang manakah paling munasabah dalam
menghuraikan periodisasi Lembah Bujang. Walau bagaimanapun ketiga-tiga
pendapat ini memperlihatkan usaha menghuraikan sejarah Lembah Bujang
sebelum abad ke-14M, iaitu sekitar abad ke-3M hingga abad ke-14M.
Persoalan yang sering dikemukakan mengenai Lembah Bujang ialah mengenai
tarikh kemerosotan kawasan tersebut. Selain memberi alasan serangan Raja
Chola oleh Wales dengan jangka masa yang lebih awal, Lamb pula
menyatakan punca kemerosotan Lembah Bujang adalah disebabkan oleh
perubahan struktur aliran sungai di Lembah Bujang yang menjadi kurang
dalam dan jauh di pedalaman. Bahkan sejak abad ke-14M telah muncul
kawasan di selatan Semenanjung yang memberikan saingan kepada Lembah
Bujang.
3.2 Sumber Arkeologi
3.2.1 Candi
Lembah Bujang memiliki koleksi candi yang begitu banyak berbanding
lain-lain tapak arkeologi di Malaysia. Dengan jumlah yang begitu banyak
maka tidak hairanlah mengapa Lembah Bujang sangat penting sebagai
kawasan kajian sejak 100 tahun yang lepas. Istilah candi merujuk kepada
kuil Hindu-Buddha yang pernah digunakan oleh masyarakat Kedah Tua.
Istilah candi berasal daripada perkataan Candika (nama isteri Dewa Siva)
ataupun merupakan kependekan daripada istilah Candika-graha (rumah
kuil). Candi berfungsi sebagai :
Memuliakan orang yang telah
mati, terutamanya raja, pembesar atau golongan Brahmin. Justeru abu
mayat yang telah dibakar di tempatkan di tengah-tengah bangunan candi
sebagai penghormatan. Biasanya abu mayat diletakkan dalam cepu batu
(relikuari) dan di tempatkan di bahagian vimana sesebuah candi.
Tempat melakukan upacara keagamaan yang bersifat harian ataupun tahunan.
Berdasarkan penemuan candi di Lembah Bujang, kegunaan candi bergantung
kepada fahaman agama yang dianuti iaitu Buddha ataupun Hindu. Walau
bagaimanapun ciri umum pada candi tetap kekal iaitu terdapat bahagian
vimana dan mandapa yang dihubungkan secara langsung ataupun tidak
langsung. Dari segi material kebanyakan candi di Lembah Bujang
menggunakan batu bata, batu granit, batu sungai dan batu laterit.
Manakala dilihat dari segi bentuk boleh dibahagikan kepada tiga bentuk
yang utama iaitu:
Segiempat memanjang contohnya Candi Tapak 8 (Candi Bukit Batu Pahat) dan Tapak 19 (Pangkalan Bujang)
Segi lapan contohnya Candi Tapak 17 (Candi Bukit Pendiat).
Lapan penjuru yang menghala keluar pada setiap sisi misalnya candi Tapak 21 (Kampung Pangkalan Bujang)
Kewujudan banyak tapak-tapak candi ini jelas menunjukkan pengaruh agama
Buddha dan Hindu yang di anuti oleh penduduk awal Lembah Bujang.
Hubungan perdagangan dengan India dan Srivijaya juga telah memperkuatkan
pengaruh agama Buddha dan Hindu di samping dibawa oleh
pedagang-pedagang dari India.
Menurut Quaritch Wales,
candi-candi ini merupakan tinggalan daripada tempat ibadat yang dibina
untuk memuja dewa-dewi Buddha dan Hindu yang dibawa oleh peneroka atau
penghuni dari India. Quatrich beranggapan pedagang yang datang itu
membawa bersama kebudayaan dari India Selatan dan megembangkannya di
sekitar Lembah Bujang. Pengaruh proses keindiaan ini dikatakan jelas
dengan peranan yang dimainkan Kerajaan Pallava iaitu mazhab Siva. Walau
bagaimanapun pandangan ini ditentang oleh Lamb yang menyatakan bahawa
Candi Bukit Batu Pahat bukanlah sebuah kuil Siva tetapi lebih kepada
pemujaan tantrik.
Malah penemuan cepu-cepu (caskets) granit di
candi-candi menguatkan hujah Lamb bahawa terdapatnya unsur India (Buddha
dan Hindu) dan unsur kepercayaan tempatan bercorak amalan Jawa dalam
pemujaan.
Di lihat dari segi senibina adalah tidak
dinafikan unsur-unsur Buddha dan Hindu sangat jelas. Walau bagaimanapun
kita tidak harus mengenepikan peranan senibina tempatan pada candi.
Menurut Lamb, terdapat perbezaan di antara candi di Lembah bujang
khususnya Candi Bukit Batu Pahat dengan candi di India Selatan iaitu
terdapat batu-batu granit yang berlubang di tengahnya untuk meletakkan
tiang-tiang kayu. Justeru kemungkinan atap candi diperbuat daripada daun
nipah. Justeru, binaan seperti ini tidak terdapat di India Selatan,
malah jumpaan candi di Kedah jelas menunjukkan unsur-unsur tempatan
iaitu atap nipah, batu dan kayu. Unsur-unsur seperti adalah lumrah
terdapat pada rumah-rumah kampong di Malaysia ataupun Indonesia.
Persamaan candi Lembah bujang dengan Biaro Si Topajan di Sumatera
menunjukkan telah ada tradisi tempatan dari segi seni bina. Besar
kemungkinan senibina candi merupakan suatu gabungan dan ubahsuai
daripada konsep senibina tempatan. Keadaan ini berlaku kemungkinan
disebabkan kemasukan agama Hindu dan Buddha yang membawa bersama aspek
senibina menggunakan batu dan bata yang lebih tahan dalam binaan. Selain
itu di kawasan candi tidak dijumpai sebarang hiasan ukiran. Ini
meyakinkan Lamb bahawa bahan yang digunakan juga terdiri daripada ukiran
pada kayu. Justeru itulah kita dapat melihat percampuran dalam aspek
senibina pada candi. Malah penemuan banyak serpihan tembikar, manik,
gelas; jelas menunjukkan kepentingan Lembah Bujang sebagai pusat
perdagangan entreport dan bukan hanya sebagai kawasan ibadat agama
Buddha dan Hindu.
3.2.2 Seni Arca, Relikuari dan Inskripsi
Arca
merupakan imej atau simbol yang di buat oleh manusia sebagai mewakili
dewa untuk disembah. Melalui penemuan candi di Lembah Bujang terdapat
penemuan seni Arca dalam bentuk vahana, sakhti dan dewa arca dan juga
arca yang berhubung dengan struktur candi.
Jumpaan
seni arca membuktikan adanya pengaruh Hindu dan Buddha di Lembah Bujang.
Sebahagian daripada arca ini di buat atau di bawa oleh pedagang dari
selatan India, manakala sebahagiannya pula turut diukir oleh artis
tempatan. Justeru ini membuktikan bahawa Lembah Bujang bukan sahaja
penting disebabkan jumpaan seni arca yang di bawa dari luar tetapi dapat
membantu mengesan kewujudan seni arca yang turut berkembang dalam
masyarakat awal ketika itu.
Relikuari merupakan
sejenis bekas yang digunakan untuk meletakkan barang peninggalan orang
alim yang biasanya diletakkan pada candi untuk tujuan pemujaan.
Relikuari diperbuat daripada batu, tanah liat, dan tembaga. Terdapat
beberapa jumpaan menunjukkan pada bahagian tengah relikuari terdapat
bekas-bekas tembaga yang turut digunakan untuk menyimpan objek-objek
yang diperbuat daripada kepingan emas, perak, dan tembaga.
Inskripsi turut dijumpai di sekitar kawasan Lembah Bujang misalnya
Inskripsi Cherok Tok Kun dan Inskripsi Buddha-Gupta. Inskripsi yang
dijumpai didapati menggunakan huruf Pallava, Pallava-Grandha dan Jawa
Kuno. Kajian ke atas Insripsi membuktikan bahawa agama Buddha dan Hindu
telah sampai di Lembah Bujang sekitar abad ke-4M hingga 9M.
Secara
keseluruhannya jumpaan inskripsi ini telah menunjukkan terdapatnya
unsur seni memahat dan sedikit kemahiran menulis. Walaupun goresan
tulisan dalam bentuk yang mudah tetapi sangat penting melihat masyarakat
pada ketika itu telah didedahkan dengan ilmu menulis. Walau
bagaimanapun inskripsi-inskripsi ini perlu dibuat kajian yang lebih
teliti disebabkan banyak bahagian yang agak sukar difahami hingga
sekarang.
4.0 Kesimpulan
Kepentingan Lembah Bujang tidak
dapat dinafikan dengan meneliti sumber bertulis yang begitu terhad
ataupun sumber arkeologi. Periodisasi protosejarah yang dibuat oleh
tokoh-tokoh seperti Quaritch Wales, Wheatley dan Braddell jelas
menunjukkan bahawa era sejarahproto bermula sekitar abad ke-4M iaitu
selari dengan penulisan sejarahproto di Indonesia. Walaupun sumber
bertulis catatan pedagang-pedagang daripada Arab, India dan China dan
juga sumber Hikayat lama agak kabur tetapi catatan ini mampu dibuktikan
melalui jumpaan arkeologi di sekitar Kedah khususnya di kawasan Lembah
Bujang. Pentingnya kawasan Lembah Bujang ini dari sudut sejarah awal
Malaysia telah diakui oleh Sir Roland Braddell bahawa “…as will be seen,
the sungai Bujang is horistally the most important river in Kedah,
though such a small one…Kedah has the rightful and unchallengeable claim
to be the most ancient state in the Federation of Malaya [Malaysia].”
Jumpaan arkeologi dan catatan oleh para pedagang menunjukkan peranan
Lembah Bujang sebagai pusat perdagangan yang penting di Asia Tenggara
yang menghubungkan China dan India. Wujudnya masyarakat bertamadun
terbukti dengan jumpaan artifak arkeologi dan ekofak yang mewakili zaman
pra sejarah dan fitur yang mewakili zaman protosejarah di Malaysia.
Adalah tidak keterlaluan dikatakan Lembah Bujang sangat penting dalam
menghubungkan sejarah zaman awal sekitar abad ke-4M hingga kepada zaman
kewujudan Melaka pada tahun 1400. Lembah Bujang berjaya mengisi
kekosongan dalam penulisan Sejarah awal Malaysia sebelum bermulanya
zaman kesultanan Melaka. Dengan itu vacuum yang wujud di antara zaman
Paleolitik, Mesolitik, Neolitik dan zaman logam dapat dihubungkan terus
dengan meneliti sumber bertulis yang begitu terhad dan membandingkannya
dengan jumpaan arkeologi tentang kewujudan Lembah Bujang hingga Zaman
Melaka.
BIBLIOGRAFI
Munandar, Agus Aris. Dinamika Kebudayaan Indonesia: Suatu Tinjauan Ringkas. Dalam LINGUA, Vol. 3 No. 1, Mac 2004, hlm 1-10.
Braddell,
Roland St. J. A study of ancient times in the Malay Peninsula and the
Straits of Malacca and Notes on Ancient Items in Malaya. Dalam JMBRAS,
1980.
Devahuti, D. India and Ancient Malaya (From the Earliest Times to Circa AD 1450). Singapore: Eastern University Press, 1965.
Sanday,
John. Bujang Valley and Kuala Kedah Fort-Proposals for a Masterplan
(didapati daripada http://unesdoc.unesco.org/images/0007/000785/
078585eo.pdf ; Internet (diakses pada 06 Oktober 2010)
Kobkua
Suwannathat-Pian. “Dialog of two pasts: ‘historical facts’ in
traditional Thai and Malay Historiography”. Dalam New Terrains in
Southeast Asian Historiography, ed. Abu Talib Ahmad & Liok Ee Tan.
Athens: Ohio University Press, 2003.
Lamb, Alastair. “Chandi
Bukit Batu Pahat: A Report of the Excavation of an Ancient Temple in
Kedah.” Dalam Monographs on Southeast Subjects No. 1. Singapore: Eastern
Universities Press Ltd., 1960.
Leong Sau Heng. “Lembah Bujang”.
Dalam The Bujang Valley, ed. J. Chandran dan Jazamuddin Baharudin. Kuala
Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980.
Mohd Supian Sabtu. Tamadun Awal Lembah Bujang.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
Opat Rattanachot. “Kilang Besi di Temui”. Utusan Malaysia 5 Mac 2009.
Quaritch Wales, H.Q. The Malay Peninsular in Hindu Times. London: Bernard Quaritch Ltd, 1976.
Wheatley,
Paul. The Golden Khersonese : Studies in the Historical Geography of
the Malay Peninsula before A.D. 1500. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Press, 1960.
Winstedt, R.O. “History of Kedah.” Dalam JMBRAS No. 81, 1920.
Ulasan:
Saya
dapati para pengkaji mengaku bahawa Gunung Jerai dahulunya
pulau.Soalannya berapa lama sebuah pulau boleh bersambung menjadi
daratan?Bagaimana dalam tempoh itu,perdagangan di antara penduduk
tempatan dan pedagang India masih mampu diteruskan dalam keadaan sebuah
gunung dan pulau bergerak perlahan-lahan menjadi sebahagian dari
semenanjung Malaysia?
Siapa yang
memandai-mandai menterjemah perkataan 'Bujang' kononnya berasal dari
kata 'Bhujangga' dari Sanskrit padahal dalam bahasa Melayu memang ada
perkataan 'Bujang' iaitu orang yang masih belum berkahwin?Ada 'something wrong' di sini.
Para pengkaji membuat laporan sambil lewa.
Saya akan terangkan lebih lanjut dalam perbincangan akan datang.
~Srikandi